keguguran rambut yg byk normal atau tak?


Ilmu mengenai rambut mungkin sebanyak helaian rambut di kepala. Namun apa yang mahu saya beritahu pembaca adalah tentang masalah keguguran rambut yang bukan disebabkan penyakit jangkitan kulit kepala.

Rambut sebenarnya organ ringkas yang amat dihargai oleh wanita. Namun tidak kurangnya lelaki. Walaupun lelaki tidak menjaga rambut serapi wanita, namun apabila kepala mula membotak, lelaki juga risau tentang penampilan yang berambut nipis itu. Lalu lelaki membotakkan kepala untuk menutup rasa aib terhadap perubahan di kepalanya.

Bagi wanita yang mula mengalami ketipisan rambutnya, sudah tentu membotakkan kepala bukanlah cara terbaik kerana penampilan itu tidak feminine dan tidak melambangkan wanita yang sihat. Wanita yang subur selalunya dikaitkan dengan helaian rambut yang ikal dan rimbunan rambut yang lebat.

Sifir mengekalkan keangunan rambut

Keguguran rambut secara banyak samada buat sementara atau tetap dinamakan Alopecia dan puncanya terlalu banyak. Namun masalah keguguran rambut tidak patut dirisaukan kerana ianya adalah fenomena biasa.

Apa yang sepatutnya dirisaukan ialah masalah keguguran rambut secara berlebihan, yang akan menyebabkan masalah rambut menipis dan kebotakan.

Rambut seperti mana organ yang terdiri daripada ribuan sel-sel mempunyai kitaran hidupnya sendiri. Setiap rambut akan gugur kemudian rambut baru akan tumbuh semula di tempat rambut yang gugur itu selepas beberapa waktu.

Oleh kerana ada sifir sebegini, untuk mengekalkan keanggunan rambut, maka kadar rambut yang gugur haruslah sama dengan rambut yang tumbuh. Barulah bilangan helaian rambut akan menjadi tetap kekal.

Namun keguguran rambut menjadi ketara apabila rambut yang gugur lebih banyak dari yang tumbuh semula. Dengan perkataan lain, keguguran rambut yang berlebihan disebabkan banyak rambut yang gugur, sedikit yang tumbuh. Kulit kepala akan menjadi seperti padang yang gersang, kering kontang tanpa lalang.

Faktor keguguran rambut

Penjagaan rambut telah menjadi suatu industri yang amat menguntungkan. Beberapa kajian yang telah dibuat mendapati bahawa keguguran rambut yang berlebihan ada kaitannya dengan kadar tumbuhnya rambut, panjang helaian rambut, umur malah warna rambut itu sendiri.

Malah beberapa kajian telah dilakukan untuk membuktikan ini. Jangan terperanjat jika saya katakan kadar keguguran rambut yang normal antara 50-80 helai sehari.

Tentu ramai wanita yang sedang terperanjat membaca kenyataan saya. Namun seperti yang saya katakan, kita tidak perlu risau kadar kehilangan rambut, tetapi kita harus risau kadar pertumbuhan rambut yang lambat yang akan membuatkan rambut kelihatan nipis dan kepala kelihatan membotak.

Setiap helaian rambut akan tumbuh dari folikel rambut (hair follicle) yang berada di kulit kepala, juga dikenali sebagai “akar rambut”.

Sebelum helaian rambut ini tumbuh semula, folikel berada dalam keadaan ”rehat” (tidak tumbuh memanjang) selama 100 hari. Setelah 100 hari waktu berehat, folikel mula mengeluarkan helaian-helaian rambut. Setiap helaian akan bertahan selama tiga hingga tujuh tahun sehingga ianya gugur dan digantikan dengan helaian baru. Ada kajian mengatakan helaian rambut akan bertahan selama 1000 hari.

Secara purata rambut akan tumbuh sepanjang setengah inci setiap bulan. Kadar pertumbuhan paling ketara ialah antara umur 16-24 tahun. Rambut akan tumbuh lebat pada usia berumur antara lima belas sehingga tiga puluh tahun.

Apa yang menariknya selalunya rambut akan gugur dengan sendirinya pada waktu pagi. Maka kebanyakan wanita menyedari rambutnya gugur di atas bantal.

Simpan rambut pendek atau panjang?

Panjang sehelai rambut juga menjadi faktor bagi menentukan kadar keguguran rambut. Sebagai perbandingan jika seorang wanita itu menyimpan rambut pendek, sehelai rambut berukuran 4 inci akan gugur sebanyak 85 helai sehari, manakala 12 inci helaian rambut akan gugur sebanyak 25 helai sementara 20 inci dan seterusnya dianggarkan akan kehilangan 16 helaian sehari.

Umur juga memainkan peranan dalam masalah keguguran rambut. Wanita berumur 40-50tahun selalunya akan kehilangan 20% dari rambutnya, namun keguguran rambut mereka lambat berbanding dengan lelaki.

Selain umur, ada beberapa faktor lain yang mempengaruhi kadar keguguran rambut yang berlebihan. Bagi lelaki ianya lebih disebabkan oleh faktor baka keturunan, sementara bagi wanita pula disebabkan oleh kelahiran bayinya, pill perancang, mengandung dan menopause yang semuanya disebabkan perimbangan hormon yang tidak stabil.

Stress di tempat kerja juga menyebabkan keguguran rambut berlebihan. Faktor-faktor lain seperti tekanan mental dan fizikal (kepenatan) akibat tuntutan kerja di bandar, jangkitan kuman di kulit kepala, kesan sampingan ubatan (herba dan moden), hormon yang tidak stabil dan pelbagai lagi.

Faktor baka keturunan

Ibubapa kita tidak hanya meninggalkan kita harta untuk anak-anaknya, tetapi juga beberapa penyakit, yang mana sama ada kita suka atau tidak, kita terpaksa terima.

Begitu juga dengan corak rambut yang kita miliki, ianya sama ada berasal dari baka ibu atau ayah kita. Corak rambut ini termasuklah sama ada rambut itu tebal, nipis, halus, kasar, lurus atau berombak.

Masalah keguguran rambut juga ’dipusakai’ oleh kita. Jika bapa mempunyai masalah keguguran rambut di usia muda, bukan saja anak lelaki yang akan mengikuti jejak bapa, namun anak perempuan juga mungkin akan mengalami masalah keguguran rambut juga.

Trauma akibat tarikan kuat pada rambut

Rambut juga mungkin akan gugr jika kita mengenakan tekanan fizikal dan trauma kepada rambut. Rambut seharusnya dibelai dan dijaga. Namun ketika mendandani rambut atau mungkin kita ke salon, kita tidak memerhatikan aspek “memanjakan” rambut sehingga ianya merajuk dan tidak mahu tumbuh lagi.

Keadaan di mana rambut diikat dengan kuat atau ditarik semasa dandanan memberikan stress fizikal kepada rambut, ini dikenali sebagai Traction Alopecia. Mengikat rambut dengan kuat ala chignon style, atau ponytails, atau pigtails memberikan kesan jangka panjang pada rambut. Jika tekanan stress fizikal ini berterusan, ianya akan menyebabkan satu ‘kawasan’ yang botak (spot baldness).

Spot baldness juga boleh disebabkan oleh trauma secara langsung kepada kepala. Kepala yang dipukul atau tercedera akan memberikan parut pada kulit kepala, seterusnya menyebabkan rambut tidak tumbuh di kawasan itu.

Jangkitan kuman dan penyakit sistemik

Jangkitan kuman sama ada bakteria, virus atau fungal akan menyebabkan satu ruang kawasan yang kehilangan rambut. Namun ianya boleh dirawat dengan shampoo dan losyen.

Banyak penyakit sistemik seperti diabetes mellitus dan gangguan kelanjar thyroid menyebabkan keguguran rambut yang banyak, di samping kadar pertumbuhan rambut yang kurang.

Ubat-ubatan (herbal atau moden)

Ada beberapa antibiotic (ubatan moden) dan ubatan herbal boleh menyebabkan keadaan yang sama. Kadang kala ubat-ubatan ini (herbal dan moden) kononnya boleh digunakan untuk mengubati jerawat jeragat dan parut. Ubat moden yang digunakan untuk merawat kenser boleh menyebabkan keguguran rambut yang sementara.

Gangguan emosi dan stress

Gangguan emosi dan stress selalu dihadapi oleh orang yang tidak dapat menghadapi tekanan hidup, sentiasa risau memikirkan masalah samada di rumah atau di tempat kerja, mempunyai konflik hidup yang tidak pernah selesai. Mereka ini mudah keguguran rambut yang terlalu banyak.

Ini disebabkan apabila mereka stress, semua otot di kulit kepala dan leher menjadi mengecut (spasm), seterusnya menyebabkan peredaran darah ke kulit kepala terganggu dan akhirnya folikel tidak mendapat bekalan nutrien dan oksigen yang cukup.

Untuk mengelakkannya, urutan kepala yang sesuai akan akan mengurangkan ketegangan otot-otot itu seterusnya akan melancarkan peredaran darah ke kulit kepala.

Hormon yang tidak stabil

Hormon yang tidak stabil adalah punca utama keguguran rambut yang serius. Ketidakstabilan hormon ini selalunya disebabkan oleh kehamilan, melahirkan anak, pengamalan pil perancang dan menopos (menopause).

Ketika kehamilan, kedaan rambut berada di peringkat terbaik kerana aktiviti hormone di peringkat yang optimum. Keguguran rambut bermula setelah melahirkan, kerana hormon wanita secara tiba-tiba berubah dan menyebab ketidakstabilan. Selalunya keguguran ini bermula setelah empat bulan melahirkan anak dan berterusan selama dua bulan.

Bagi wanita yang sihat, mempunyai berat yang sesuai, mempunyai kitaran haids yang tetap, makan makanan berkhasiat tetapi menggunakan pil perancang keluarga, boleh menyebabkan hormon dalam badannya menjadi tidak stabil. Akibatnya ia menyebabkan keguguran rambut.

Berlainan dengan wanita yang mempunyai kitaran haids yang tidak teratur, dan beliau memakan pil perancang untuk menstabilkan hormon, pengambilan pil perancang ini akan menyebabkan rambutnya lebat dan kekal sihat.

Menopaus boleh menyebabkan keguguran kerana tidak lagi mengeluarkan hormon wanita, yang mana menyebabkan rambut menjadi lemah, mudah gugur dan rambut kering.

Mengelakkan rambut gugur secara banyak

Rambut yang sihat tidak akan gugur dengan begitu banyak. Selain dengan masalah pada folikel (akar) rambut, keguguran yang terlalu banyak disebabkan oleh rambut yang lemah, kering dan rosak.

Mencuci dan merawat rambut dengan cara yang sesuai akan mengelakkan keguguran rambut secara berlebihan. Rawatan yang membantu rambut yang kering dan kasar menjadi lembap dan lembut semula. Beberapa minyak yang sesuai akan membantu perlembapan rambut.

Mengurut rambut secara kadar yang sesuai , seperti yang telah diterangkan boleh menyebabkan saluran darah akan bertambah baik, meningkatkan pengaliran darah seterusnya membekalkan oksigen dan nutrisi kepada kulit kepala dan rambut. Mengurut juga merangsangkan folikel rambut yang sedang dalam keadaan rehat untuk menggalakkan pertumbuhan dan agar memanjangkan rambut.

Memang tidak dapat dinafikan, bukan mudah hendak menjaga rambut. Banyak langkah-langkah yang teliti dan berterusan harus diambil. Namun saya percaya, rambut adalah antara organ badan yang perlu dijaga, dibelai dan dimanjakan.

Mungkin di lain kali saya akan menyentuh tentang rawatan rambut yang lebih praktikal. Semoga Allah memberikan saya kesihatan yang baik, masa yang banyak dan hati yang tenang untuk menulis lagi.

No comments:

Post a Comment